RSS

Lastik Gelang Getah

Nampaknya cuti sekolah kali ini kak mah tak berkesempatan balik ke kampung kak mah di Johor sana...banyak sangat kekangan. InsyaAllah jika ada waktu senggang nanti dapatlah kak mah balik ke kampung yang sangat kak mah rindui itu...Macam-macam kenangan silam akan berputar di fikiran setiap kali kak mah teringat kampung halaman kak mah itu. Sambil membuka bungkusan plastik yang diikat dengan gelang getah pun, otak kak mah boleh menerawang ke zaman kak mah kanak-kanak dulu...
Gelang getah...objek itu begitu sinonim dengan zaman kanak-kanak masa tu. Selain dijadikan tali skipping ( sekarang diganti dengan pelbagai jenis tali ), gelang getah juga cukup diingati untuk satu lagi permainan. Nama permainan tu kak mah dah lupa...tapi kak mah masih ingat perkataan "gundu" iatu ibu getah yang ditocang sebagai peledak untuk melastik getah yang dipertaruhkan.Permainan ini biasanya dimainkan oleh lebih daripada dua orang pemain. Setiap pemain akan mengeluarkan sejumlah gelang getah yang ditetapkan. Gelang getah tersebut akan dikumpul dan diikat pada satu palang kayu seperti yang kak mah paparkan di bawah. Kemudian kami akan bergilir-gilir melastik menggunakan getah gundu tadi...sesiapa yang berjaya menjatuhkan gelang getah itu sebanyak mungkin, dia berhak memilikinya. Begitulah..sehingga semua gelang getah tersebut berjaya dijatuhkan.
Permainan ini dimainkan oleh semua kanak-kanak tanpa mengira jantina di kampung kak mah. Maklumlah di zaman tu mana ada gejala-gejala sosial seperti sekarang. Kanak-kanak di zaman tu fikirannya begitu suci dan tulus, tanpa ada anasir-anasir yang berniat jahat walaupun kami berlainan jantina. Kak mah masih ingat lagi sebahagian nama teman-teman sepermainan kak mah. Antaranya, Ros ( Rosnah ), Empok ( Kamisah ), Etom ( Kalsom ), Min ( Habsah ), Lis ( Norliza ), Mas ( Maznah ) dll ...sementara yang lelaki pula seperti Wawok ( Md Shah ), Atan ( Mohd.Rohaizat ), Mail ( aruah Mohd.Zuhairi ), Keling ( aruah Rosli ) dll...Memang sungguh menyeronokkan ketika itu, Permainan ini secara tidak langsung membolehkan kanak-kanak ketika itu cekap mengira ( bagus untuk matematik ). Buktinya sekarang kak mah jadi cikgu matematik :-) . Harga gelang getah ketika itu cukup murah. Dengan 10 sen kita boleh dapat sebanyak 30-60 utas gelang getah yang pelbagai warna. Kami beli di kedai cina yang kami panggil Ah Lee di simpang kampung. Semuanya masih segar di ingatan...lebih-lebih lagi bila merindui kampung halaman...

Untuk yang sudah lupa atau tidak pernah melihat permainan ini, kak mah paparkan gambar-gambar berkaitan...terkenang-kenang tak?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: