RSS

Menjelang Ramadhan

Dua hari lagi kita semua akan menyambut bulan Ramadhan al-mubarak. Bulan yang menjanjikan seribu satu kenikmatan. Di dalamnya terkandung pahala berlipat ganda, ketenangan beribadat, ketenangan hati dan kunci untuk mengawal nafsu. Bulan Ramadhan selalu kita nantikan kehadirannya setiap tahun. Alangkah baiknya kalau setiap bulan adalah bulan Ramadhan.

Setiap tahun kita sering mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna.. agar dapat kita lalui dengan sempurna. Mengenangkan diri ini yg terlalu cetek amalan, sayang kalau biarkan ramadhan berlalu begitu saja. Bila mengenang usia yang semakin hampir menuju ke separuh abad, maka sebanyak itu jugalah bilangan Ramadhan yang kak mah telah lalui.

Masih ingatkah lagi kenangan semasa kecil setiap kali menyambut kedatangan bulan yang mulia ini? Pastinya setiap orang mempunyai pelbagai kenangan masing-masing. Begitu juga dengan kak mah. Dalam usia 6 atau 7 tahun kanak-kanak di kampung kak mah sudah diwajibkan berpuasa dan bagi yang tidak berpuasa pastinya mereka juga terpaksa mengaku berpuasa untuk mengelakkan jadi bahan ejekan rakan-rakan. Ketika itu hanya bunyi paluan beduk dari surau atau masjid yang menjadi panduan sama ada untuk bersahur atau berbuka.

Menjelang pengumuman di TV ( masa ni kak mah dah berusia 9 tahun baru ada TV hitam putih yang dicas dengan bateri basah) oleh penyimpan mohor besar raja2, kak mah dan keluarga akan duduk beramai-ramai mengadap TV. Bagi orang dewasa tentu sekali mengharapkan anak bulan kelihatan, tapi bagi kanak2 seusia kak mah pastinya jika anak bulan tidak kelihatan disambut dengan gembira...kerana dapat makan lagi sehari! dan terdengarlah sorakan gembira kak mah dan adik2.

Sepanjang bulan puasa, kanak2 di kampung kak mah akan merancang pelbagai aktiviti untuk memenuhi masa sementara menunggu waktu berbuka. Antara permainan di bulan puasa ialah bermain ceper ( penutup botol), congkak, pondok2 dan sebagainya. Semakin hari menjelang senja biasanya kami sudah terjelepuk keletihan. Ketika ini segala benda yang boleh dimakan akan dikutip oleh kami. Contohnya putik jambu, mempelam, belimbing atau apa saja buah-buahan yang terdapat di sekeliling kami. Namun benda2 itu hanya menjadi bahan tontonan sahaja apabila waktu berbuka tiba. Dan begitulah selalunya...

Paling kak mah seronok semasa bulan puasa juga adalah disebabkan banyaknya juadah berbuka yang boleh dimakan ketika itu. Mana nak dapat makanan sebanyak itu jika di hari biasa... Setiap petang juga menjadi rutin kak mah dan adik2 akan menghantar juadah ke rumah2 jiran. Kami akan berbalas2 juadah dan jika ada lima buah rumah tentunya kami sudah mendapat lima juadah yang berbeza petang itu. Masyarakat di kampung ketika itu sememangnya sangat akrab dan ianya seakan menjadi tradisi setiap kali menjelang ramadhan.

Terlalunya banyak sebenarnya kenangan manis ketika menyambut ramadhan...Insyaallah jika berkesempatan kak mah akan berkongsi lagi kenangan2 lain sperti bermain meriam, memasang lampu pelita, membuat kuih dan lain2 lagi. Semuanya itu pastinya menjadi kenangan terindah yang tidak mungkin dapat dirasai oleh kanak2 di zaman ini.

Allah berfirman "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184) merupakan tugas yang tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam. Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini sekaligus menguatkan kekuatan spiritual. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:

"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).

Selamat menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarak...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: