Semalam kak mah sempat berjalan-jalan di sekitar bandar Manjung dan Sitiawan. Boleh tahan sesak juga jalan raya walaupun hujan turun renyai2. Di sana sini penjual dan promoter berteriak dan cuba mendekati pelanggan. Ketika sampai di bank, kak mah didekati dan dipujukrayu untuk menukar ASTRO biasa kepada ASTRO BEYOND atau untuk lebih mengujakan mengambil pakej yang boleh dirakam siaran. "Meriah nanti raya kak menonton siaran ASTRO . Akak boleh rakam kalau tak sempat tengok". Kak mah angguk dan ucap terima kasih jer. Yang kak mah dengar banyak sangat yang percuma! percuma! percuma! bila promoter2 ni mengiklankan barang2 mereka. Sana sini jualan murah hari raya. Yang kak mah pasti tiap ujung bulan bil yang perlu dibayar akan bertambah dan melambung tinggi kalau kita tergoda dengan semua yang ditawarkan!
Banyak juga tempat yang kak mah tinjau dan pastinya meriah dengan pengunjung yang datang untuk mencuci mata atau pelanggan yang mencari barang keperluan. Kak mah mungkin bukanlah tergolong dalam golongan orang yang begitu teruja untuk menukar perabot atau langsir setiap tahun. Rasanya langsir kak mah sekarang pun dah dua tahun kak mah guna. Masih kelihatan menarik dan belum pudar jadi kak mah rasa bukan satu keperluan untuk ditukar. Sofa lagilah mungkin dah lapan tahun digunakan dan masih berkeadaan baik, tak perlulah membazir membeli yang lain. Berhiaslah ala kadar.Yang penting rumah kelihatan kemas dan bersih. Ramadhan bulan keberkatan,bukan bulan pembaziran. Tak kiralah kita ni dari golongan sederhana atau kaya raya sekalipun.
Bercerita pasal persiapan hari raya ni teringat pula masa kak mah zaman kanak-kanak dulu. Ayah kak mah memberi kami dua pilihan sama ada ingin membeli kasut raya atau kasut sekolah yang baru. Biasanya jika kami melihat kasut sekolah sudah lusuh, kami akan memilih untuk membeli kasut sekolah. Maka berayalah kami dengan kasut sekolah tersebut! :-) Baju raya pula biasanya sedondon dan daripada kain-kain murah saja. Masa tu dah seronok sangat, sebab itulah masanya kami dapat memakai baju baru...Dalam seminggu tu dua helai baju raya itulah yang dicuci dan dipakai berulangkali bila bertandang ke rumah-rumah jiran. Itupun kami dah cukup megah menggayakannya :-)
Kuih-muih jangan katalah...pelbagai jenis biskut ada. Tinggal memilih dan tunjuk mana yang berkenan di hati. Bab biskut ni terkenanglah pula kak mah semasa zaman anak dara dalam lingkungan umur 16 dan 17 tahun dulu. Masa tu kak mah dengan adik memang membuat sendiri biskut raya ni. Kakak2 yang besar dah berkahwin,jadi kak mah dengan adiklah yang mengambil alih tugas menyediakan biskut2 moden ni. Emak kak mah hanya membuat kuih2 tradisional saja. Setakat menyediakan 10 jenis biskut tu memang petik jari jerlah orang kata. Nampak macam pakar jerkan...tapi sebenarnya biskut tu adunannya semua sama. Kak mah cuma buat dalam macam2 color jer. Nak nampak kelainan kak mah letaklah manik atau buah ceri di bahagian atas. Tapi kalau rasa...sumpah semuanya sama jer :-)
Begitulah masyarakat kita bila menjelang Ramadhan dan Syawal. Sanggup berhabis-habisan sama ada di pasar Ramadhan atau di Bazar Hari Raya. Kadang2 terfikir pula, betulkah bulan puasa ni untuk kita menahan lapar atau dahaga? Kalau dilihat dari perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membeli makanan rasanya melebihi daripada hari-hari biasa. Jadi di mana fadilat puasa itu? Fikir-fikirkanlah dengan apa yang kita amalkan selama ini...Semoga kita semua mendapat keberkatan di bulan penuh kerahmatan ini.
Buat ibu bapa yang mempunyai anak-anak, beringatlah ketika berbelanja. Ada tanggungjawab yang lebih penting di hujung dan awal tahun nanti. Janganlah sampai setiap kali tiba waktu pembayaran buku dan yuran kita asyik memberi seribu alasan untuk menangguh pembayaran atau menimbulkan rasa kurang puas hati terhadap sekolah atas bayaran yang dikenakan. Jika kita sanggup berhabis untuk membeli barang sekadar untuk menunjuk dalam seminggu dua, mengapa kita tidak boleh berhabis untuk menanam modal/saham pada anak-anak kita untuk masa depan mereka... Ubahlah gaya hidup kita...Islam cara hidup kita.
Berbelanjalah Ala Kadar
Tarikan Pasar Ramadhan?
Diam tak diam dah hampir 2 minggu kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini. Di Manjung tempat kak mah tinggal, di sana sini terdapat pasar Ramadhan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Walaupun begitu, tarikan pasar Ramadhan belum lagi dapat mengugat keinginan kak mah untuk membelinya di situ...
Kak mah lebih seronok masak sendiri untuk menikmati hidangan berbuka puasa. Mungkin juga lauk pauk yang dijual bukan selera kak mah untuk membelinya. Atau kak mah perasan air tangan kak mah bila memasak lebih sedap daripada apa yang dijual di pasar Ramadhan itu :-). Mungkin juga...(dalam hati...memang betul pun...).
Biasanya kak mah akan melawat juga pasar tersebut di minggu2 akhir puasa. Masa tu semangat memasak dah berkurang ( sayang nak guna periuk belanga yang dah digantung )...semangat nak balik kampung jer yang berkobar-kobar! Maklumlah kak mah ni merantau di negeri orang...walaupun orangtua di Johor dah tak ada tapi semangat balik kampung tu tetap membara...Bukan senang kak mah nak dapat berkumpul dengan semua adik beradik setahun sekali.
Juadah berbuka puasa biasanya kak mah mengikut selera anak, sebab dialah yang paling banyak makan pun masa tu. Itulah budak2 sekarang, berbuka pun suka makan western food. Dah dua kali kak mah menyediakan juadah 'chicken chop' dengan pakejnya sekali. Satu lagi kegemaran anak kak mah makan nasi goreng pataya, Terpaksalah kuali kak mah tu tunggang terbalik nak menghasilkan nasi pataya yang berbungkus cantik...Bila tengok hasil masakan yang menarik semakin kuat keinginan kak mah untuk membuka kedai makan selepas pencen nanti :P . Mana taukan impian kak mah tu akan jadi kenyataan...
Bercerita bab pasar Ramadhan ni kak mah adalah kenangan ketika membeli lauk di sana tahun lepas. Biasalah kalau ke sana, biasanya kak mah carilah lauk yang kak mah minat. Kak mah teringin makan kerabu... maka belilah kak mah dekat satu gerai makcik tu ( perasan muda tu...). Kak mah mintak RM3 dengan harapan kerabu tu dapat kak mah ratah nanti. Dalam hati fikir mesti banyak tu sebab bahan2 murah jer. Walhasil balik asal...tak berbaloi sungguh...adalah dua sudu besar jer. Tak apalah mungkin termasuk kos penat dia memasak...redha... Tapi yang buat kak mah geram tu bila kerabu tu merenggut semua selera kak mah masa berbuka. Hilang selera! loya! Kerabu tu basi.......... Sejak tu kak mah langsung hilang minat membeli lauk-pauk di pasar Ramadhan.
Kalau kak mah teringin sekalipun, biasanya kak mah akan terus pergi ke gerai yang kak mah dah biasa sebab mereka ada restoran atau kedai makan. Kalau membeli di gerai peniaga segera ni kena berhati-hati sikit...mungkin sebab mereka tidak biasa berniaga, makanya lauk kadangkala cepat basi. Atau mereka sekadar boleh memasak tapi ingin berniaga...itupun satu hal juga. Pada kak mahlah , kalau ingin berniaga tu biarlah hasil yang dijual tu berbaloi dengan wang yang dibayar oleh pembeli. Rezeki lari kalau setiap pembeli asyik menyumpah seranah kita dengan apa yang kita berikan pada mereka. Tak guna untung hanya sehari...lepas tu pembeli semua lari....
Menjelang Ramadhan
Dua hari lagi kita semua akan menyambut bulan Ramadhan al-mubarak. Bulan yang menjanjikan seribu satu kenikmatan. Di dalamnya terkandung pahala berlipat ganda, ketenangan beribadat, ketenangan hati dan kunci untuk mengawal nafsu. Bulan Ramadhan selalu kita nantikan kehadirannya setiap tahun. Alangkah baiknya kalau setiap bulan adalah bulan Ramadhan.
Setiap tahun kita sering mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna.. agar dapat kita lalui dengan sempurna. Mengenangkan diri ini yg terlalu cetek amalan, sayang kalau biarkan ramadhan berlalu begitu saja. Bila mengenang usia yang semakin hampir menuju ke separuh abad, maka sebanyak itu jugalah bilangan Ramadhan yang kak mah telah lalui.
Masih ingatkah lagi kenangan semasa kecil setiap kali menyambut kedatangan bulan yang mulia ini? Pastinya setiap orang mempunyai pelbagai kenangan masing-masing. Begitu juga dengan kak mah. Dalam usia 6 atau 7 tahun kanak-kanak di kampung kak mah sudah diwajibkan berpuasa dan bagi yang tidak berpuasa pastinya mereka juga terpaksa mengaku berpuasa untuk mengelakkan jadi bahan ejekan rakan-rakan. Ketika itu hanya bunyi paluan beduk dari surau atau masjid yang menjadi panduan sama ada untuk bersahur atau berbuka.
Menjelang pengumuman di TV ( masa ni kak mah dah berusia 9 tahun baru ada TV hitam putih yang dicas dengan bateri basah) oleh penyimpan mohor besar raja2, kak mah dan keluarga akan duduk beramai-ramai mengadap TV. Bagi orang dewasa tentu sekali mengharapkan anak bulan kelihatan, tapi bagi kanak2 seusia kak mah pastinya jika anak bulan tidak kelihatan disambut dengan gembira...kerana dapat makan lagi sehari! dan terdengarlah sorakan gembira kak mah dan adik2.
Sepanjang bulan puasa, kanak2 di kampung kak mah akan merancang pelbagai aktiviti untuk memenuhi masa sementara menunggu waktu berbuka. Antara permainan di bulan puasa ialah bermain ceper ( penutup botol), congkak, pondok2 dan sebagainya. Semakin hari menjelang senja biasanya kami sudah terjelepuk keletihan. Ketika ini segala benda yang boleh dimakan akan dikutip oleh kami. Contohnya putik jambu, mempelam, belimbing atau apa saja buah-buahan yang terdapat di sekeliling kami. Namun benda2 itu hanya menjadi bahan tontonan sahaja apabila waktu berbuka tiba. Dan begitulah selalunya...
Paling kak mah seronok semasa bulan puasa juga adalah disebabkan banyaknya juadah berbuka yang boleh dimakan ketika itu. Mana nak dapat makanan sebanyak itu jika di hari biasa... Setiap petang juga menjadi rutin kak mah dan adik2 akan menghantar juadah ke rumah2 jiran. Kami akan berbalas2 juadah dan jika ada lima buah rumah tentunya kami sudah mendapat lima juadah yang berbeza petang itu. Masyarakat di kampung ketika itu sememangnya sangat akrab dan ianya seakan menjadi tradisi setiap kali menjelang ramadhan.
Terlalunya banyak sebenarnya kenangan manis ketika menyambut ramadhan...Insyaallah jika berkesempatan kak mah akan berkongsi lagi kenangan2 lain sperti bermain meriam, memasang lampu pelita, membuat kuih dan lain2 lagi. Semuanya itu pastinya menjadi kenangan terindah yang tidak mungkin dapat dirasai oleh kanak2 di zaman ini.
Allah berfirman "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184) merupakan tugas yang tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam. Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini sekaligus menguatkan kekuatan spiritual. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:
"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).
Selamat menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarak...
Hadapilah dengan tabah
Malam tadi kak mah terbaca satu pengumuman di sistem myguru mengenai keputusan peperiksaan semester yang lalu. pengumuman itu mengatakan bahawa pihak UPSI tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan peperiksaan sebelum ini. Pengumuman tersebut pastinya berkait rapat dengan situasi panik yang berlaku di kalangan pelajar sebelum ini. Sehingga kak mah juga ada mendapat perkhabaran bahawa terdapat pelajar yang pengsan / pitam dan jatuh sakit apabila melihat makluman keputusan peperiksaan sebelum ini.
Hal ini berlaku kerana mereka terkejut dan kecewa dengan apa yang dipaparkan di dalam sistem. mereka yang bertungkus lumus dan tidak pernah gagal dengan apa juga tugasan mendapat markah dan gred yang sangat rendah berbanding mereka yang tidak aktif tetapi keputusan adalah "sangat baik" ! Bagaimana semua ini boleh berlaku? Adilkah keputusan sebegini untuk semua pelajar? Bagaimana pensyarah membuat keputusan? Kriteria apa yang digunapakai? dan bermacam-macam maklumbalas atas ketidakpuas hatian tersebut.
Mungkin pertanyaan yang bertubi2 inilah yang memaksa pihak UPSI membuat pengumuman tersebut. Sistem bukan manusia...maka pastinya berlaku kecelaruan dalam proses yang melibatkan beribu-ribu pelajar sehingga menimbulkan suasana panik tersebut. Kita juga harus akur bahawa inilah kali pertama pihak UPSI mengendalikan sejumlah pelajar yang begitu besar dalam pembelajaran secara PJJ dan online sepenuhnya. Banyakkan bersabar dalam menghadapai kemelut seperti ini. Insyaallah segalanya akan kembali pulih dan kita akan mendapat keputusan yang saksama dengan apa yang telah kita laksanakan dalam tugasan yang diberikan.
Sama2lah kita berdoa semoga kita berjaya melepasi halangan pertama ini dengan jayanya...dan pastinya semester akan datang akan lebih mencabar bagi kita semua. Alang2 menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, alang2 mengenggam bara biar sampai menjadi arang....apa juga rintangan dan cabaran mendatang hadapilah dengan tabah dan semangat juang yang tinggi...
Realiti mimpi...
Dalam sesak nafas ini
aku terus berlari
ranjau duri ku harungi
tanpa ada rasa kesal
tanpa ada rasa jemu...
Meski ada suara-suara
yang meyakitkan
hati juga nurani...
untuk apa lagi?
tidak cukupkah gaji?
apa lagi yang dicari?
Bukan kekayaan yang ku cari
bukan niat meninggi diri
apatah lagi menyombong diri
Aku ingin mencabar diri
mampukah aku terus mendaki
di usia yang sebegini
demi mengapai sebuah mimpi
yang pernah bertahta di hati...
Aku pernah hampir rebah
bila cita hampir punah
kini peluang itu menghampiri
mengapa mesti aku hindari
aku bukan lagi bermimpi
aku yakin aku pasti
aku berpijak di bumi realiti....






